HOME CATATAN ARTIKEL LAGU RESEPI KARYA

Rabu, September 26, 2012

Rempah Ratus dan Pengenalannya



1 - Kulit Kayu Manis
2 - Halba
3 - Cengkih
4 - Biji Lada Hitam
5 - Biji Lada Puteh/Sulah
6 - Bunga Lawang
7 - Buah Keras
8 -Jintan Puteh
9 -JIntan Manis
10 - Biji Ketumbar
11-Jintan Hitam/Habbatul Sauda’
12 - Buah Pelaga


PENGENALAN REMPAH RATUS

              Rempah ratus telah di definisikan sebagai mana-mana daripada beberapa jenis bahan sayuran yang digunakan untuk merencah masakan atau pun makanan. Definisi ini telah diambil dari kamus Webster’s New Twentieth Century.

Lazimnya rempah ratus ini dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan supaya boleh disimpan lama dan tidak berkulat atau rosak. Ia mempunyai aroma dan rasa serta perisa yang tersendiri dalam pembuatan makanan agar rasa sedap apabila dimakan.
Pihak berkuasa di bidang pertanian dan makanan telah mengkategorikan bawang merah, bawang putih, saderi, salam dan bay sebagai sayuran manakala gajus pula dalam kategori buah dan kekacang (nut). Ini adalah amalan yang telah dipraktikkan dalam bidang ekonomi pertanian untuk memberi kategori bagi setiap jenis tumbuhan atau setiap jenis hasilnya.

Di sini saya akan memilih skop definisi yang lebih luas bagi istilah Rempah Ratus dan perisa serta berpendirian bahawa satu tumbuhan boleh dimasukkan kepada lebih daripada satu kategori. Contohnya ; saderi adalah merupakan sayur, perisa dan penghias makanan dan biji gajus pula dimasukkan dalam kumpulan kekacang serta buah gajus pula di kategorikan sebagai buah-buahan ; manakala pucuk daun gajus yang dimakan sebagai ulaman dikategorikan sebagai sayuran, perisa atau penghias makanan. Lemon dan limau nipis juga akan dimasukkan di sini sebab kedua-duanya penting sebagai perisa makanan atau minuman dan juga digunakan dalam pelbagai jenis masakan.

Jerangau juga akan dimasukkan di sini kerana ia dikelaskan sebagai rempah ratus kurang penting dalam penerbitan ramuan tertentu. Ramai di antara kita tidak menganggap pandan wangi atau vanila sebagai rempah ratus tetapi kedua-dua jenis tumbuhan sering dimasukkan dalam beberapa buku tentang rempah ratus kerana bahan-bahan ini digunakan sebagai perisa pelbagai jenis masakan. Ada beberapa jenis rempah ratus yang digunakan dalam masakan Barat dan tidak digunakan dalam masakan Asia tetapi bahan-bahan ini turut dijual di pasaraya tertentu di Malaysia dalam bentuk segar mahu pun yang kering . Pelbagai jenis rempah ratus orang Barat ditanam di tanah tinggi Malaysia. Ramai juga orang Malaysia gemarkan makanan Barat dan ingin tahu tentang khasiat bahan yang digunakan.

DIET YANG SEIMBANG UNTUK KESIHATAN
       Sayuran adalah penting bagi kesihatan dan begitu juga buah-buahan yang mengandungi kabohidrat kompleks dan protin. Rempah ratus jarang diambilkira dalam formulasi diet yang seimbang atau dalam piramid makanan kerana rempah ratus digunakan dalam kuantiti yang kecil dan mungkin dianggap sebagai tidak memberi kesan nutrisi yang ketara. Makanan dari alam tumbuhan sentiasa penting kepada manusia melainkan beberapa pengecualian di mana daging haiwan merupakan makanan utama. Kebanyakan hasil penyelidikan menunjukkan bahawa diet yang seimbang sangat penting kepada kesihatan manusia.

Pengambilan makanan daripada satu kumpulan makanan sahaja telah terbukti dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa makan terlalu banyak lemak dikaitkan dengan kanser payudara, kolon, prostat dan rektum. Diet yang kekurangan serat pula dikaitkan dengan kanser usus besar. Kelaziman mengambil antioksida telah terbukti mengurangkan kemungkinan kanser kerongkong dan kanser perut.

SEJARAH REMPAH RATUS
            Sejarah menunjukkan bahawa manusia telah menggunakan makanan bukan sahaja   sebagai sumber tenaga dan bahan tumbesaran tetapi juga untuk menjaga kesihatan dan merawat penyakit. Beberapa ahli falsafah menyebut ; “ Biar makanan menjadi ubat kamu …”.
Saderi bermula sebagai tumbuhan ubatan semata-mata, sebelum digunakan sebagai perisa dan penghias makanan, akhirnya barulah digunakan sebagai sayur. Namun, saderi bukanlah 100% mewakili kata-kata ahli falsafah tadi.

REMPAH RATUS BERSIFAT UBATAN
Bahan-bahan yang terkandung di dalam rempah ratus memberi kesan penyembuhan tertentu dan juga untuk menjaga kesihatan. Sesuatu campuran daripada pelbagai jenis kandungan dalam satu jenis makanan atau beberapa jenis makanan akan memberi kesan yang berlainan daripada jumlah campuran kesan setiap satu bahan kandungan. Bahan yang tidak bernilai atau sedikit sahaja nilai scara sendirian mungkin bertindak bersama untuk memberi kesan menyembuh dan menyihatkan. Satu bahan yang berbahaya apabila digunakan sendirian mungkin berkhasiat kepada kesihatan apabila dicampur dengan bahan lain. Bahan-bahan yang
berkhasiat dalam suatu campuran boleh menjadi berbahaya apabila digunakan dalam dos yang tinggi atau dalam bentuk sebatian tulen. Anda haruslah berwaspada apabila rempah ratus atau bahagian tertentu mengandungi kimia yang bertoksik.

KANDUNGAN NUTRISI DALAM REMPAH RATUS
          Rempah ratus mengandungi bahan-bahan yang diletakkan dalam kumpulan tertentu yang dinamakan karbohidrat, protin, lemak, serat, mineral, vitamin dan pelbagai sebatian kimia yang mempunyai kumpulan sendiri seperti alkaloid, minyak esen, saponin dan tanin. Sungguhpun kebanyakan rempah ratus tidak banyak menyumbang kepada tubuh manusia dari segi karbohidrat, protin, lemak dan serat, tetapi kandungan mineral, vitamin dan fitokimia lain lazimnya cukup untuk memberi kesan kepada manusia.
Nutrien dan kimia lain di dalam makanan penting bagi tubuh agar berfungsi dengan sempurna dan menentang infeksi ; sebagai bahan binaan bagi tumbesaran tubuh, untuk memperbaiki dan memperbaharui sel-sel, tisu dan juga bahagian-bahagian jasad. Makanan juga mengandungi bahan kasar yang memudahkan pembuangan air besar supaya fungsi ini dapat berjalan dengan sempurna dan lancar.




Selasa, September 18, 2012

Titipan Rindu Untuk Mama..

Mama selalu dalam ingatan dan doa

Mama...
Ini aku anakmu
perempuan yang dulu membebanimu selama sembilan bulan
merampas lelapmu pada malam-malam
ketika aku masih menjadi gumpalan daging bernyawa di rahimmu,
pun saat aku pertama kali menghirup nafas di bentang fana ini
setelah kau bertarung antara hidup  mati
Aku hanya mampu memberimu gelisah dan cemas
tapi letihmu tak pernah kudengar sebagai nyanyian keluh

Mama...
ini aku anakmu
yang bangga menjadi dewasa dalam asuhanmu
sebelum kau lepas aku ke tanah rantau dan kini tengah merindukanmu

Aku ingin pulang
menghitung jumlah kerutan di wajahmu seperti kemarin
telahkah bertambah?
satu garis membuatku mengenang setiap detik dan minit yang kau lalui
untuk aku anakmu...
Tuhan...
Jagakan selalu mamaku..
Jaminan dari doaku
anakmu mama...